Cabaran Bahasa Melayu Pada Zaman Moden




1.0 Pengenalan

            Pemerkasaan bahasa Melayu di Malaysia semakin menghadapi cabaran.  Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, pemerkasaan bermaksud menjadikan sesuatu itu berwibawa, dominan, kuat, hebat, terkenal, berdaulat, dan sebagainya. Justeru, pemerkasaan bahasa Melayu bermaksud menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang hebat, terkenal, berdaulat dan dominan di dunia ; hebat dari segi kandungan ilmunya, keintelektualannya, keluasan penggunaannya, nilai ekonominya dan keterbacaannya (Hashim Hj.Musa,2009). Walaupun terdapat banyak pihak yang sentiasa berusaha untuk memperkasakan status Bahasa Melayu. Namun, pada alaf yag baru ini, Bahasa Melayu masih menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran pula ialah sesuatu unsur, atau faktor yang mencabar, menguji, kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. (Kamus Dewan Edisi Ke-4, 2005). Oleh itu cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21 bermaksud mencabar kemampuan bahasa Melayu terus berkembangpada abad ke-21. Oleh hal yang demikian, abad ke-21 atau lebih dikenali sebagai era globalisasi ini merupakan satu zaman yang penuh dengan cabaran terutama terhadap kedudukan bahasa Melayu di negara mahupun kedudukannya di persada dunia.

2.0  Cabaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.

            Bahasa Melayu telah menghadapi cabaran untuk menjadi bahasa ilmu apabila pada tahun 2003. Subjek Sains dan Matematik dalam semua peringkat diajar dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini telah memberi kesan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini. Pejuang-pejuang bahasa telah bersatu hati untuk mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu. Sebenarnya, kejayaan sesuatu bangsa bukanlah berdasarkan penguasaan dalam bahasa Inggeris, tetapi kefahaman terhadap sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa ibunda sendiri. Justeru, ada masyarakat luar menganggap orang Melayu tidak akan maju jika orang Melayu tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.

            Bahasa Kebangsaan di Malaysia telah berjaya, terutamanya jika dilihat dari perspektif penggunaannya dalam jentera pentadbiran, dalam sistem pendidikan, dan dalam beberapa domain utama kehidupan sehari-hari masyarakat Malaysia (Nik Safiah Karim 2004). Tokoh berpendapat bahawa bahasa Melayu sedang berkembang dalam dunia pendidikan. Kerjayaan tersebut amatlah dibanggakan. Namun, wujud cabaran yang lain iaitu dalam mewujudkan kerjasama daripada pelbagai pihak amat diperlukan bagi menetapkan kedudukan bahasa Melayu sekali gus mempertingkatkan mutu bahasa. Pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sepatutnya dapat melahirkan rakyat Malaysia yang bangga dan hormat kepada bahasa kebangsaannya sebagai simbol kedaulatan negara dan pada masa yang sama boleh menggunakan bahasa Inggeris sebagai jendela kepada dunia yang luas (Asmah Hj.Omar, 2003:75). Dalam konteks ini, semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan bahasa Melayu dapat diperkasakan di samping menjaga bahasa Inggeris supaya cabaran abad ke-21 tidak meminggirkan bahasa Melayu dalam kehidupan masyarakat.



3.0  Cabaran Bahasa Melayu Dalam Teknologi Maklumat (ICT)

            Bidang teknologi maklumat amat penting pada zaman ini. Oleh itu, Malaysia telah menerima impak yang besar terutama dari segi penggunaan bahasa teknologi maklumat. Memang tidak dinafikan bahawa bahasa teknologi maklumat yang utama ialah bahasa Inggeris. Keadaan ini akan memberi kesan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Sehubungan dengan itu, bahasa teknologi maklumat dalam bahasa Melayu perlu kami belajar agar perbendaharaan kata berkenaan teknologi dapat diperkaya. Semua negara mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selain bahasa ibunda. Contohnya, Korea Selatan dan Jepun merupakan negara yang maju dalam bidang sains dan teknologi, namun mereka tetap mempertahankan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris tetap dipelajari.

            Menurut Kamal Shukri Abdullah Sani, (2007; 50) bahawa Jepun tidak berganjak daripada menggunakan bahasanya dari peringkat tadika sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi dalam semua bidang mata pelajaran. Bahasa Inggeris hanya dipelajari di peringkat menengah dan bukan di peringkat rendah. Walau bagaimanapun, bahasa Jepun tetap diutamakan dan dijunjung tinggi martabat dan maruahnya. Jelas menunjukkan bahawa negara yang menekankan bahasa kebangsaan juga dapat menjadi negara yang maju. Negara Jepun merupakan negara yang kaya dengan kecanggihan teknologi dan ilmu teknologi maklumat. Negara Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi juga mampu menghadapi cabaran ini dengan memajukan teknologi maklumat dalam arus pembangunan negara tanpa mengabaikan bahasa Melayu seperti Jepun yang maju dalam teknologi maklumat, Perkara ini memerlukan renungan bersama oleh masyarakat Malaysia.

            Mengikut pendapat  Hashim Hj. Musa, ( 2009; 61) bahawa penguasaan ilmu, sains dan teknologi yang tinggi, kemahiran dan kepakaran secara meluas dalam kalangan rakyat jelata, merupakan faktor utama dalam pembangunan Sumber Daya Tenaga Manusia sesebuah negara secara menyeluruh, yang menjadi faktor utama pula kepada pembangunan dan kemajuan negara itu. Lanjutan dari situ, penyampaian dan pemahaman ilmu teknologi dan kepakaran serta kemahiran dengan cara yang paling berkesan adalah dengan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan kerana rakyat banyak menggunakan bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian membolehkan mereka dapat menguasai dengan cepat dan berkesan.

4.0  Sikap Penutur Bahasa Mencabar Kedudukan Bahasa Malayu

            Nik Safiah Karim (2004) memperkatakan bahawa bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya. Pada zaman ini, kepentingan dan kesesuaian bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa telah menjadi hakikat. Jadi, terdapat masyarakat yang tidak menitik beratkan bahasa kebangsaan menyebabkan kedaulatan bahasa Melayu tercabar. Hal ini disebabkan mereka sudah terdidik dalam bahasa Inggeris sejak kecil lagi memyebabkan mereka lebih lancar bercakap bahasa Inggeris. Akibatnya, mereka yang tidak biasa menggunakan bahasa Melayu telah membentuk satu sikap tidak ‘kisah’ terhadap bahasa ibunda. Contohnya, apabila mereka disuruh memberi pendapat dan idea, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Justeru, permasalahan ini iaitu sikap penutur merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi pada abad ke-21 agar bahasa Melayu tidak dipandang rendah oleh masyarakat sendiri.

            Bahasa Inggeris menjadi bahasa komunikasi dalam kalangan kelas atasan dan kelas menengah bagi bukan Melayu dan komunikasi akan dijalankan dalam bahasa Melayu sekiranya ada orang Melayu dalam proses komunikasi tersebut (Asmah Hj.Omar, 2003:74). Bahasa Melayu telah menerima cabaran dari segi persaingan dengan bahasa Inggeris. Walaupun begitu, keadaan ini tidak menjadi satu cabaran besar sehingga menggugat kedaulatan bahasa Melayu di negara Malaysia. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu yakin dengan kemampuan dan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa berkomunikasi. Rakyat sepatutnya berbangga terhadap bahasa Melayu kerana bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca. Menurut Asmah Haji Omar (2007), lingua franca membawa makna sebagai bahasa yang diketahui oleh kebanyakan penutur walaupun hanya pada peringkat yang asas.





5.0  Wujud “Bahasa Rojak” Dalam Penggunaan Bahasa Melayu.

            Berdasarkan Su’ad Awad (2007), beliau berpendapat bahawa “bahasa rojak menggambarkan penggunaan bahasa yang sebenar di Malaysia”. Bahasa rojak akan terus diamalkan kerana sikap pengguna suka menggunakan bahasa rojak. Hassan Ahmad (2007) juga telah melihat bahasa rojak dari sudut sikap pengguna bahasa di Malaysia. Menurut beliau, pengguna bahasa rojak ialah “... orang yang mengalami kecelaruan pemikiran”. Keindahan Bahasa Melayu telah musnah akibat pengaruh-pengaruh luar seperti pengaruh media elektronik kini telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari segi pertuturan,ayat, istilah dan bahasa. Kerosakan penggunaan bahasa Melayu yang paling teruk jelas ditunjukkan oleh golongan remaja. Pada abad ke-21, sudah menjadi satu ikutan kepada golongan remaja dalam penggunaan bahasa Melayu terutamanya “bahasa rojak”. Keadaan ini akan membawa kesan yang serius terhadap kedaulatan bahasa Melayu jika tidak ditangani dengan segera, sudah pasti keindahan bahasa Melayu akan musnah. Menurut Asmah (2007), bahasa rojak sebenarnya bahasa campur kod dan alih kod. Maksud bahasa rojak juga boleh dikatakan  wujudnya perkataan atau frasa daripada bahasa asing dalam bahasa yang dituturkan. Merujuk kepada konsep yang telah dikemukakan oleh tokoh. Disebabkan bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua, maka kod daripada bahasa Inggeris akan timbul dalam pertuturan.

            Bahasa rojak juga boleh dikatakan sebagai “kerancuan bahasa” iaitu penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya atau tatabahasa akibat pengaruh bahasa asing yang tidak diterima secara umum dan formal seperti dari segi sintaksis, morfologi, fonologi, kosa kata, istilah dan sebagainya.

6.0  Cabaran Globalisasi

            Globalisasi didefinisikan sebagai keberhubungan aktiviti-aktiviti manusia secara global dalam aspek pengaliran modal dan buruh, teknoologi dan kemahiran, pemikiran dan nilai, gaya hidup dan cita rasa, yang merentasi sempadan negara dan bangsa (Hashim Musa, 2005: 209). Dunia tanpa sempadan menyebabkan manusia dapat berinteraksi sama ada secara nyata atau maya. Oleh itu, pemerkasaan bahasa Inggeris dianggap penting dalam konteks ini. Namun, pemerkasaan bahasa Inggeris ini dilihat akan meminggirkan bahasa Kebangsaan yang mana bermula pada tahun 1990-an, dasar bahasa dalam sistem pendidikan negara telah mengalami perubahan mendadak akibat daripada tekanan globalisasi (Tan Yao Sua, 2010: 121).

            Terdapat kecelaruan dalam pemikiran pencinta bahasa Inggeris (Elit Englophile) iaitu hakikat penimbaan dan penerokaan ilmu pengetahuan boleh dilakukan dalam bahasa apa sekalipun, namun penyampaian dan pembudayaan ilmu pengetahuan kepada rakyat jelata negara bangsa itu yang merupakan sumber daya tenaga manusianya seharusnya dalam bahasa yang paling mudah difahami oleh rakyatnya (Hashim Musa, 2005: 211). Misalnya Jepun menggunakan bahasa Jepun bagi mencapai kemajuan. Jadi, semua sumber daya tenaga rakyatnya dapat digembleng untuk menjana ekonomi negara. Sains dan teknologi yang canggih dapat dihasilkan walaupun dengan penguasaan mahir dalam bahasa ibunda sendiri. Dari situ, rakyatnya dapat menikmati kemajuan sains dan teknologi. Mereka membuktikan bahawa faktor globalisasi yang memartabatkan bahasa Inggeris bukan penentu utama bagi sesebuah negara menjadi maju. Untuk menjadi maju, negara perlu mempunyai kemajuan sains dan teknologi yang menunjukkan identiti negara. Jelasnya, Malaysia juga boleh memberi penekanan terhadap bahasa Melayu dalam usaha membawa negara ke arah maju kerana bahasa Melayu boleh menjadi satu wadah untuk menyampaikan ilmu sains dan teknologi kepada semua rakyat.

7.0  Kesimpulan

            Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu untuk menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara bukanlah suatu cabaran yang mudah untuk menghadapinya. Oleh yang demikian, semua cabaran tersebut harus ditangani secara bersama oleh masyarakat Malaysia tanpa mengira masyarakat daripada peringkat atasan sehingga ke peringkat bawahan, kerajaan seterusnya kepada sikap rakyat jelata. Biasanya sesuatu kelompok akan sentiasa sensitif terhadap cabaran, persaingan dan kelunturan yang mungkin dihadapi oleh bahasa dan budaya mereka. Sesuatu kelompok akan menjadikan pemuliharaan bahasa dan budaya sebagai satu agenda bersama, dan aspek inilah yang menyebabkan mereka berasa bersatu (Zulkifley Hamid, 2012: 225).











RUJUKAN

Asmah Haji Omar, (2003:74). Language And Language Situation In South East Asia:        With     a Focus On Malaysia, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu,         Universiti Malaya.

Asmah Haji Omar, (2003:75). Language And Language Situation In South East Asia:        With     a Focus On Malaysia, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu,         Universiti Malaya.

Asmah Haji Omar, 2007. “Taksonomi Pertemuan Bahasa: Di Manakah Letaknya Bahasa Rojak?” Kertas kerja dalam Seminar Bahasa Rojak: Kecelaruan      Penggunaan    Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.         18-19 Julai 2007.

Asmah Haji Omar. (2007). Teori Linguistik dan Aplikasinya dalam Memartabatkan            Kajian Dialek Melayu. Kertas Kerja Seminar Dialektologi Melayu (SEDIA).           Anjuran Program Pengajian Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia.

            Globalisasi Barat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Hashim Hj. Musa. (2009). BBM 5203 Sosiolinguistik Lanjutan. Serdang: Universiti             Putra Malaysia.

Hashim Musa (2005). Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia: Menghadapi       Globalisasi Barat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Hassan Ahmad, 2009. “Lidah Terputus, Bahasa dan Bangsa Pupus” dlm. Dewan Bahasa Jilid 9. Bil 4, April 2009.

Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu, Apa Sudah Jadi?
            Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.

Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim (2004). Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang Jasa Asraf. Kuala      Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Nik Safiah Karim. (2004). Bahasa Melayu Sedekad Lalu: Kuala Lumpur: Dewan   Bahasa dan Pustaka.



Su’ad Awad, 2007. “Rojak (Pasembor?) Melayu: Identiti Linguistik dan Sosial Bahasa       Sembang Internet”. Kertas kerja dalam Seminar Bahasa Rojak: Kecelaruan       Penggunaan Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 18-   19 Julai 2007.

Tan Yao Sua (2010). Isu Bahasa, Etnik dan Pembinaan Negara Bangsa dalam     Sistem Pendidikan Malaysia. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains            Malaysia.

Zulkifley Hamid (2012). Keupayaan Berbahasa Melayu dalam Kerangka Satu       Malaysia. E-Bangi Journal, 7(1). Pp 224-234.
















Comments

Popular posts from this blog

Bahasa Melayu