Bahasa Melayu
1.0 Pendahuluan
Bahasa
ialah satu sistem lambang vokal yang arbitrari dan bermakna yang digunakan
oleh anggota masyarakat untuk berhubung sebagai satu cara mereka bersosialisasi
(G. Trager 1949). Bahasa ialah
set ayat, sama ada terbatas atau tidak dan setiap ayat yang
terbatas panjangnya dibina oleh satu set elemen yang
terbatas juga (Noam Chomsky 1957). Menjelaskan bahawa bahasa digunakan dalam kehidupan
harian sama ada dalam komunikasi atau penulisan.
2.0
Konsep dan Takrif
Bahasa Melayu
Abdul
Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain (2011) menyatakan ada pendapat yang
mengaitkan perkataan Melayu dengan Malayu, iaitu sebuah kerajaan yang terletak
di muara Jambi. Kerajaan ini muncul pada abad ke-7 (644M) dan I-Tsing telah
melawatinya pada 671M. Nama mo-lo-yu
bagi kerajaan ini wujud daripada nama sebatang sungai yang terletak di situ,
iaitu Sungai Melayu. Menurut Slametmuljana dalam Armin Azhari Saleh (2011), pada
tahun 644M atau 645M istilah Melayu ditulis sebagai Mo-lo-yeu yang berasal
daripada bahasa Sanskrit. Pada tahun 644M - 645M, istilah ini dijumpai buat
pertama kalinya dalam tulisan China. Orang Mo-lo-yeu telah mempersembahkan
hasil bumi kepada maharaja dengan mengirimkan utusan ke negara China. Dipercayai
bahawa orang Mo-lo-yeu tersebut datang daripada sebuah kerajaan yang terletak
di Jambi. Kajian Asmah Omar (2008) yang mendapati bahawa kawasan bahasa Melayu
adalah menganjur dari kawasan pergunungan di Taiwan menyusur ke selatan hingga
ke New Zealand, dan dari Madagascar di luar pantai timur Afrika hingga ke Pulau
Easter di Lautan Pasifik. Bahasa Melayu merupakan bahasa dalam rumpun
Austronesia, bahasa Melayu bukan sahaja mempunyai perkaitan dengan bahasa-bahasa
yang berdekatan dengannya, malah juga mempunyai perkaitan dengan bahasa-bahasa
di Lautan Pasifik.
3.0
Bahasa Melayu Moden
Bahasa Melayu moden
berkembang pada pertengahan abad ke-19. Dipercayai Abdullah bin Abdul Kadir
Munsyi yang mencetuskannya. Bahasa Melayu Moden mempunyai fungsi yang lebih
besar berbanding dengan bahasa Melayu Klasik. Bahasa ini bersifat dinamik,
iaitu mudah menerima kemasukan bahasa asing. Pengembangan bahasa Melayu moden
dirancang oleh badan yang ditubuhkan khas, Dewan Bahasa dan Pustaka dari segi
taraf, fungsi dan korpus untuk menjadikannya alat komunikasi yang sempurna.
4.0
Kedudukan Bahasa Melayu Pada Peringkat Serantarau Dan
Antarabangsa
Bahasa
Melayu pernah mencapai tahap lingua franca pada zaman Kesultanan Kerajaan
Melayu Melaka. Keadaan ini menunjukkan kemampuan bahasa tersebut bersaing
dengan bahasa lain yang pada masa itu. Pada
abad ke 18, sebuah kamus komparatif daripada 180 bahasa dan loghat termasuk
bahasa Melayu telah diterbitkan atas perintah Ratu Catherine Agung (Victor
2011). Hal ini menjelaskan golongan bangsawan mengiktiraf dan memberi
penghargaan kepada bahasa Melayu kerana nilai keilmuan yang terdapat dalam
bahasa Melayu sangat indah. Selain itu, terdapat banyak universiti di luar
negara yang menawarkan Kursus Pengajian Melayu seperti di Universiti Leiden,
Belanda, Victoria Universiti of Wellington, Ohio University, Amerika Syarikat, New Zealand dan Hankuk
University of Foreign Studies, Korea Selatan.
Penawaran kursus-kursus bertujuan untuk
membantu mengembangkan bahasa Melayu di seluruh dunia. Oleh
itu, bahasa Melayu berkemampuan menjadi bahasa ilmu. Hal ini dapat dibuktikan
dengan pengiktirafan universiti-universiti terpilih dalam mengembangkan bahasa
Melayu melalui penubuhan-penubuhan Kursus Pengajian Melayu. Dengan ini, jelas
menunjukkan kemampuan bahasa Melayu bersaing di persada antarabangsa.
5.0 Penutup
Tegasnya,
bahasa Melayu sememangnya mempunyai potensi untuk menjadi bahasa antarabangsa.
Rakyat Malaysia perlulah berusaha memperjuangkan kedudukan bahasa ini agar
bahasa ini dapat diwarisi kepada genarasi akan datang dan terus berkembang.
RUJUKAN
Abdul
Rashid Melebek & Amat Juhari Moain (2011). Sejarah Bahasa Melayu.
Kuala Lumpur: Utusan Publications
& Distributors Sdn. Bhd.
Armin
Azhari Saleh (2011). Menghayati Sejarah Bahasa Melayu. Pelita Bahasa 23(06): 3.
Asmah
Haji Omar (2008). Ensiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
G. Trager (1949). “The
field of linguistics”. Norman, Okla: Battenburg Press.
Noam Chomsky 1957. Syntactic
structures. Janua Linguarum 4. The Hague: Mouton.
Victor,
P. 2011. Bahasa Melayu Merentas Sempadan.
Dewan Bahasa 11(03): 52-55.
Comments
Post a Comment